28/10/2016

Kekeliruan Mengenai Kod E Dalam Makanan

BY Mr. Rizal IN , , , , No comments




E-CODES HARAM? KOD LEMAK BABI???
jangan mudah MENGHARAMKAN yang HALAL...

Persoalan : Mengapa produk makanan yang tertera dengan jelas mengandungi kod E seperti e471 dan e476 pada label tetapi mempunyai logo halal?

Jawapan Ringkas : Perlu diketahui bahawa Kod E BUKAN Kod Lemak Babi. Kod E adalah kod yang digunakan bagi ganti nama aditif makanan.

PENJELASAN :
Bahan campuran makanan yang dikatakan dari lemak babi ber kod ‘E’, pernah menjadi isu pada tahun 2007dan masih tersebar hingga ke hari ini.



Ianya bermula dari tersebarnya email yang kononnya dari Dr. M. Anjad Khan iaitu rakan kepada Syeikh Sahib, seorang pegawai di Badan Pengawasan Ubat & Makanan (POM) di Pegal, Perancis yang membuat kajian ke atas bahan campuran makanan ber kod ‘E’ itu. Kemudian, ada pula penyebaran senarai kod e menggunakan nama Dr. Rasheed Mos dari Universiti Malaya.

Senarai E-codes yang kononnya mengandungi lemak babi didapati tidak benar. Pelbagai pihak, pertubuhan dan NGO cuba mencari penulisnya iaitu Dr. M Amjad Khan daripada Medical Research Institute (Persoalannya: Medical Research Institute yang mana satu? Kerana ada banyak MRI di USA), dan ternyata beliau TIDAK WUJUD. Sementara Dr. Rasheed Mos adalah individu yang tidak wujud di Universiti Malaya. Dingatkan bahawa artikel yang kononnya ditulis oleh mereka adalah PALSU, lebih merupakan satu propaganda pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

klik untuk imej besar


APA ITU KOD E?

Definasi Kod E ialah :
Sistem penomboran dan kod e telah dibangunkan untuk mengesan sejumlah besar bahan ramuan tambahan yang terdapat di pasaran dan menjadi satu keperluan undang-undang mengenai pembungkusan di Eropah pada tahun 1980an.

E bermaksud Eropah dan menunjukkan bahawa bahan ramuan tambahan yang ditandai dengan nombor E telah lulus ujian keselamatan dan telah digunakan dalam Kesatuan Eropah. Bagi tujuan penyeragaman dan mengelakkan kekeliruan, setiap ramuan tambahan tambahan diberikan nombor yang tersendiri.

 Sistem penomboran ini telah disesuaikan untuk kegunaan antarabangsa oleh Suruhanjaya Codex Alimentarius, maka Sistem Penomboran Antarabangsa (INS) diwujudkan. INS mengekalkan nombor yang sama bagi setiap tambahan tetapi tanpa huruf E. Bahan yang termasuk dalam kelompok E-number ditemukan juga pada label makanan di negara GCC (Gulf Cooperation Council), Australia dan New Zealand (tanpa awalan E).

Apa itu Bahan Ramuan Tambahan / Aditif Makanan?
Bahan Ramuan Tambahan atau Aditif makanan adalah bahan yang ditambah dengan sengaja ke dalam makanan bagi tujuan memperbaiki kualiti, persembahan (tekstur, konsistensi, rupa, perisa, bau, rasa dan jangka hayat penyimpanan) tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral. Ianya juga mempunyai fungsi teknologi semasa penyediaan atau ketika pemprosesan makanan.

Ada bahan aditif ini yang 100% halal dan ada yang dalam kategori Syubhah (boleh jadi halal atau haram berdasarkan sumber bahan tersebut dihasilkan)

Aditif Makanan dengan Kod E

Bahan-bahan ramuan tambahan dengan E-number diklasifikasikan sebagai berikut:
E100-E199 : Pewarna makanan
E200-E299 : Pengawet makanan
E300-E399 : Anti oksidan dan pengatur keasaman
E400-E499 : Emulsifier(Pengemulsi),Penstabil(Stabilizer), Tickerners (Pemekat)
E500-E599 : Pengawal Keasidan dan anti-cacking
E600-E699 : Penambah Perisa
E700-E799 : Antibiotik
E900-E999 : Pemanis dan Agen Pengilat
E1100-E1599 : Bahan-bahan kimia baru yang tidak termasuk klasifikasi standard

klik gambar untuk besarkan


 PENENTUAN STATUS HALAL ATAU HARAM

Status halal, syubahah atau haram sesuatu bahan makanan tidak ditentukan berdasarkan sebarang kod huruf atau nombor.
Sumber asal bahan tersebut dihasilkan adalah penentu kepada status halal atau haram. Biar apa jua kod huruf atau nombor digunakan, itu bukan penentu halal atau haram.
Maka, sewajarnya tumpuan Pengguna Muslim yang bijak adalah kepada sumber penghasilan aditif makanan.
SITUASI DI MALAYSIA

Penggunaan Kod E pada label makanan adalah tidak disyaratkan di dalam Garis Panduan Pelabelan Aditif Makanan di Bawah Peraturan Makanan 1985.
Para pengeluar/pengilang pula tidak mahu menggunakan kod e pada label produk mereka bagi mengelakkan kekeliruan dan diftnah mengandungi babi.

Bagi produk-produk yang mendapat pengesahan Halal Malaysia dan badan-badan Islam luar negara yang diiktiraf, bahan-bahan kritikal dari aspek halal akan dipastikan mempunyai sijil halal dan jadual spesifikasi bahan yang menunjukkan sumber penghasilan aditif tersebut atau dihantar untuk ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia sebelum disahkan halal.

Jelasnya, tidak semua senarai E-codes itu diperbuat daripada terbitan lemak babi atau lain-lain haiwan sahaja tetapi juga daripada sumber tumbuhan serta kimia. Sebagai contoh untuk additif dengan kod E100 adalah merujuk kepada curcumin, iaitu pewarna kuning semulajdi yang diambil daripada rizom kunyit (Curcuma longa), sementara E110 adalah pewarna tiruan Sunset Yellow dari sumber kimia, E120 (pewarna merah) daripada sumber Kumbang Cochineal, dan banyak lagi yang tidak ada kena mengena dengan lemak/minyak, apatah lagi lemak babi.

 Untuk menentukan sumber apa asalnya bagi produk yang dilabelkan ramuan dengan kod E, kita perlu menyemak dan mendapatkan kepastian/deklarasi daripada pengeluar. Yang paling penting pastikan mempunyai Logo Halal Malaysia atau Badan Islam luar negara yang diiktiraf. Caranya ialah dengan menyemak di Direktori Halal Malaysia atau minta salinan sijil halal dari pengeluar dan pengedar.

 Waallahu'alam

0 komen:

Post a Comment